Thursday 8 December 2011

PENGAJARAN MAKRO


Rasional
Pengajaran mikro diaplikasikan sepenuhnya dalam menghasilkan  guru permulaan yang berkesan.    Memandangkan betapa penting dan berfaedahnya pendekatan pengajaran mikro dalam konteks Praktikum,   Bahagian Pendidikan Guru telah menekankan  agar diaplikasikan teknik pengajaran mikro ini dalam kurikulum dimaktab/institut perguruan di Malaysia.
Tujuan
  • Menghasilkan pelajar meminati profesyen perguruan, dan merangsang keinginan untuk membaiki diri sendiri.
  • Membolehkan guru pelatih menguasai kemahiran mengajar dengan cepat dan menyeronokkan.
  • Membentuk pelajar membaiki kelemahan praktikum dengan cepat dan berkesan melalui proses yang boleh memberikan maklumbalas segera dan meyakinkan serta latihan ulangan pembetulan selanjutnya.
  • Agar pelajar dapat menghasilkan pengajaran yang lebih menarik dan berkesan.
  • Mengurangkan ketegangan yang dialami oleh guru pelatih apabila menghadapi kelas sebenar semasa praktikum nanti.
Pendahuluan
Guru dalam bilik darjah menggunakan berbagai teknik dan kaedah untuk membolehkan murid melakukan proses pembelajaran.    Aktiviti pembelajaran seperti  set  induksi, penerangan, penyoalan, tunjukcara,  variasi rangsangan, peneguhan,  penggunaan gerak-geri , gerak-isyarat, sikap(‘gesture’) dan perlakuan bukan lisan seperti senyum , anggukan kepala dan gerakan tangan dan sebagainya akan menentukan keberkesan guru.
Guru yang berkesan akan memilih kemahiran-kemahiran yang sesuai dengan umur dan kebolehan murid serta objektif pelajaran, juga perlu memikirkan organisasi dan disiplin bilik darjah.
Pengajaran mikro membolehkan guru pelatih melatih diri dengan satu kemahiran pada satu masa, dan apabila satu kemahiran itu telah dikuasai, barulah dapat digabungjalinkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam pengajaran mereka.   Pengajaran mikro juga dapat meningkatkan latihan perguruan dan kesedaran terhadap teknik pengajaran.
Pengajaran Mikro
Mengikut Micheel J. Wallace – Pengajaran mikro adalah penemuan pengajaran yang dimudahkan.       Pengertian itu membawa makna iaitu satu situasi pengajaran yang telah dikurangkan skopnya, iaitu tugas guru dipermudahkan, mata pelajaran dipendekkan dan bilangan murid dikecilkan.
Pengajaran Mikro diaplikasikan
Tidak banyak penulis tentang pengajaran mikro mengusulkannya sebagai ganti Praktikum di sekolah, malah kebanyakan daripada mereka berpendapat, pengajaran mikro sebagai tambahan kepada teknik-teknik latihan perguruan yang ada,alasan yang diberikan adalah kerana,
  1. Membolehkan pelajar menumpukan  perhatian kepada tugasan mengajar tanpa gangguan masalah pengurusan bilik darjah, yang biasa terdapat dalam praktikum disekolah.
  2. Pelajar dapat menumpukan perhatian kepada satu kemahiran mengajar pada satu masa.
  3. Membolehkan pelajar meneliti pengajarannya dengan cara yang sistematik, dan mendapat maklumbalas dengan segera dan kemudiannya membuat perubahan untuk membaikinya di mana yang difikirkan perlu.
  4. Dengan menekankan penganalisaan pengajaran kepada kemahiran-kemahiran komponennya, pengajaran mikro meletakkan asas bagi pendekatan saintifik yang sebenarnya dalam latihan perguruan.
  5. Pendekatan pengajaran mikro adalah mudahubah dan boleh digunakan dalam berbagai situasi seperti persediaan untuk praktikum di sekolah, langkah diagnosis semasa atau selepas praktikum, dan kajian keatas proses pengajaran dan pembelajaran.
Bagaimana Mengendalikan Pengajaran Mikro
Pengajaran mikro sebagai sampingan praktikum di sekolah, langkah persediaan sebelum praktikum, langkah diagnosis semasa atau selepas praktikum atau langkah peneguhan pengajaran mata pelajaran di sekolah.  Perinsip asas pengendalian pengajaran mikro ialah;
  1. Pelajar mengajar satu pelajaran yang pendek antara 5 hingga 10 minit sahaja.
  2. Mengajar pelajaran itu kepada satu kumpulan murid atau rakannya antara 4 hingga 6 orang sahaja.
  3. Apabila pelajaran itu tamat, murid atau rakannya keluar, dan ia membincangkan pengajarannya itu dengan penyelianya.
  4. Selepas membuat perubahan di mana yang diperlukan ke atas pendekatannya yang lalu, ia mengajar pelajaran itu kepada satu set murid atau rakannya yang  lain.
Di maktab/Institut  perguruan, pengajaran mikro boleh dikendalikan dengan cara model yang dihasilkan di Universiti Stamfort;
  1. Pelajar berbincang dengan penyelianya mengenai perkara-perkara  yang terlibat dalam kemahiran pengajaran mikro yang ia akan aplikasikan.  Kemudia dia akan menyediakan satu epesod untuk pengajaran itu   -   Peringkat taklimat.
  2. Pelajar mengajar pelajaran mikronya kepada sekumpulan kecil murid atau rakannya  seramai  4 hingga 6 orang.   Pelajar itu diajar selama 5 hingga 10 minit, bila tamat , murid atau rakannya akan meninggalkan bilik pengajaran mikro    – peringkat mengajar.
  3. Pelajar dan penyelianya menganalisa pengajaran mikro  , pelajar diberi peluang mengeluarkan pendapat, perbincangan kritis,  penyelia sebagai pembimbing, penggalak dan penggerak  membolehkan pelajar menyedari  kelebihan dan kelemahan pengajarannya.   Kemudian pelajar diberi masa untuk menyediakan epesod pengajarannya dengan membuat perubahan-perubahan  yang difikirkan perlu     – peringkat kritis.
  4. Pelajar akan mengajar sekali lagi kemahiran pengajaran mikronya, tetapi kali ini kepada satu set murid atau rakannya yang lain  -   peringkat ulangan pengajaran.
Perkara yang penting dalam pengajaran mikro
  1. Pelajar yang telah menguasai kemahiran pengajaran tidak perlu ulang latihan pengajarannya.
  2. Pelajar yang belum menguasai kemahiran pengajarannya perlu mengulangi pengajarn mikronya.
  3. Jika penggunaan perakam video panduan penilaian  dan penaksiran  tidak perlu digunakan.
  4. Pengajaran mikro boleh dibuat di maktab/intitut dengan murid-murid sekolah dibawa ke maktab/institut, atau dijalankan di sekolah dengan pelajar dan penyelianya pergi ke sekolah.
  5. Maklumbalas yang segera dan tepat membolehkan pelajar mengubah perlakuannya.
  6. Perkembangan kemahiran pengajaran mikro tidak boleh dibuat berasingan dengan isi pelajaran.
  7. Perakam vedeo mempunyai kelebihan, mengandungi unsur komunikasi lisan dan bukan lisan.
  8. Walaupun panduan penilaian dan penaksiran tidak perlu jika penggunaan perakam video, tetapi ia boleh digunakan bersama kerana ia dapat menambahkan keberkesanan latihan dari segi panduan pemerhatian dan maklumbalas yang bertulis.
Kemahiran Pengajaran Mikro
Pengajaran mikro tidak memberi semua kemahiran yang diperlukan oleh pelajar dalam profesyen perguruannya.    Ia berkaitan hanya dengan kemahiran-kemahiran yang digunakan oleh guru dalam perhubungan persemukaan di bilik darjah.  Dengan itu, kemahiran pengajaran mikro adalah perlakuan bilik darjah yang tertentu, boleh dilihat, ditakrifkan, ditunjukkan perkaitan dengan pembelajaran murid.
Pengajaran mikro adalah melatih diri sendiri, pelajar dilatih pengajarannya  dari segi kemahiran mengajar yang boleh diukur, dinyatakan, dilihat dan dikawal, membantu pelajar bersiap sedia untuk membuat latihan pengajaran mikro dengan berkesan.
Kemahiran-kemahiran berikut adalah komunikasi dua hala guru-murid dalam bidang pengajaran dan pengajaran  seperti kemahiran: –
  • Set induksi
  • Tunjuk cara
  • Variasi rangsangan
  • Peneguhan
  • Penyoalan
  • Mengilustrasi dengan  menggunakan contoh
  • Penerangan
  • Aprisiasi
  • Penggunaan Bahan Sumber Pengajaran & Pembelajaran
  • Penutup
KEMAHIRAN SET INDUKSI
Kemahiran ini ada kaitan dengan cara guru memperkenal atau memulakan sesuatu pelajaran atau satu unit tertentu sesuatu pelajaran.  Pada setiap epesod pengajaran, guru hendaklah menegaskan kepada muridnya tugasan yang akan dibuat.   Guru perlu mengekalkan dan menarik perhatian muridnya serta menggerakkan mereka untuk membuat aktiviti, berfikir dan belajar.    Memandu muridnya kearah manakah tujuannya, membina perkaitan yang jelas dengan pengalaman lalu/sedia ada.
  1. Menarik perhatian
Guru boleh menggunakan suara, gerakgeri dan pandangan mata untuk menarik perhatian murid kearah pelajaran yang diajar.   Ia juga boleh menggunakan bahan bantu mengajar atau alat bantu mengajar dan pelbagai intraksi yang lain.
  1. Menimbulkan pergerakan
Guru boleh menggerakkan muridnya dengan menunjukkan kemesraan dan menunjukkan semangat serta kesungguhan perkara yang diajarnya.    Guru boleh juga menggerakkan muridnya dengan merangsang naluri ingin tahu atau menarik minat murid dengan bercerita atau memulakan aktiviti.     
  1. Struktur
Guru menentukan hal bagi tugasan yang diberikan kepada muridnya,   seperti – Tengah hari ini kita akan melihat beberapa keping gambar dan kemudian kita akan bincangkannya.   Selepas perbincangan itu kamu akan menulis ceritanya.    Guru menolong muridnya dengan mencandangkan beberapa cara menulis cerita itu. 
  1. Membuat perkaitan
Guru boleh membuat perbandingan dan perbezaan, seperti membandingkan papan tanda berlampu yang terdapat di Semenanjung Malaysia dengan yang terdapat di Sabah atau Sarawak.    Guru merujuk kepada situasi semasa untuk menarik perhatian.
Set induksi yang berkesan ialah,
  1. Set insuksi hendaklah bermakna kepada murid dari segi umur, kebolehan dan minat.
  2. Set induksi hendaklah berkait dengan isi pelajaran dan objektif pelajaran.
  3. Pelajaran baru hendaklah dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid,  belajar daripada yang telah diketahui kepada yang akan diketuhui.
KEMAHIRAN VARIASI RANGSANGAN
Kemahiran ini meliputi aktiviti yang boleh digunakan oleh pelajar untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik penyampaian.      Latihan dalam kemahiran ini dapat menolong pelajar mengajar dengan berkesan dan menarik minat murid kepada pelajaran yang diajarnya.
  1. Pergerakan
Pergerakan  guru dalam kelas seperti beberapa langkah di sepenjang bahagian hadapan atau di antara barisan-barisan murid boleh menolong murid sentiasa bersedia dan menumpukan perhatian kepada pelajaran.     Elakkan  pergerakan ke hadapan dan ke belakang yang resah akan mengganggu tumpuan murid kepada pelajaran.
2.  Gerakgeri semulajadi guru (gesture)
Penggunaan pergerakan badan, tangan dan muka yang semulajadi untuk menguatkan perkataan yang dituturkan dapat menarik perhatian murid.   Sebaliknya  pergerakan tubuh badan semulajadi yang tidak bermakna seperti mengejepkan mata atau mengelengkan kepala atau melambungkan sesuatu akan menghalang tumpuan kepada pelajaran.
3.  Mengubah nada pertuturan
Mengubah intonasi, nada suara dan kelajuan perkataan dapat mengekal minat murid terhadap pelajaran.     Suara yang mendadak, sentiasa tinggi dan kuat menimbulkan rasa kebimbangan, sebaliknya suara yang mendatar, kurang kuat dan kurang bertenaga menimbulkan rasa bosan terhadap pelajaran.
4.  Penglibatan murid secara lisan
Soalan, perbincangan murid dan peluang diberi kepada murid untuk melahirkan pendapat  menggalakkan murid melibatkan diri secara lisan dalam pelajaran.   Ini akan memberikan rasa seronok kepada murid.
5.  Penggunaan Pancaindera
Guru yang mengubah-ubah aktivitinya dan melibatkan pancaindera seperti penggunaan gambar atau model, dapat menambah tarikan dan minat murid kepada pelajaran, juga menambah kesan penyampaian maklumat kepada muridnya.
5.  Aktiviti Fizikal
Guru yang memberi peluang kepada murid membuat aktivi yang pelbagai akan menyeronokkan murid semasa mereka belajar.
Variasi Rangsangan yang berkesan ialah:-
  1. Matlamat guru hendaklah jelas tentang tujuan perubahan-perubahan dalam aktiviti yang digunakan dan ada perkaitan dengan isi pelajaran.
  2. Guru hendaklah menjalankan variasi rangsangan dengan licin agar tidak mengganggu perjalanan pelajaran.
  3. Guru hendaklah merancang dengan teliti, jika hendak menggunakan bahan bantu mengajar dan alat bantu mengajar.
  4. Guru perlu mengubah variasi rangsangan untuk memberi rangsangan kepada tindak balas murid.
KEMAHIRAN PENEGUHAN
Melibatkan satu teknik mengajar yang boleh mengubah perlakuan murid dalam beberapa cara yang positif seperti guru memberi peneguhan dengan senyuman, angguk kepala, memuji murid kerana memberi jawapan yang baik, menggalakkan murid yang lambat belajar supaya terus tekun belajar, atau menulis ‘syabas’ dalam buku murid kerana kerja yang telah disempurnakan.     Peneguhan seperti ini akan membawa kepada perulangan  perlakuan yang  baik dan seterusnya akan membina sikap yang positif .    Peneguhan ini boleh diberikan kepada individu, kumpulan atau seluruh kelas. Bidang utama dalam peneguhan  ialah;-
  1. Peneguhan lisan
Guru boleh menggalakkan murid belajar dengan menggunakan perkataan seperti   ‘baik’, ‘ia’, ‘betul’, ‘itu jawapan yang tepat’,  ‘bijak’,  ‘pandai’, ‘ bagus’, ‘kerja kamu sempurna’, ‘itu adalah cadangan yang baik’,  dan lain-lain peneguahn yang positif.
2.  Peneguhan gerakgeri
Guru boleh memberi peneguhan dengan menunjukkan perasaan pada mukanya seperti senyuman, ketawa yang menyukakan, atau menggunakan gerakgeri tubuh badan sebagai isyarat persetujuan, seperti menganggukkkan kepala, mengangkat tangan, angkat bahu, menepuk tangan dan sebagainya.
3.  Peneguhan dampingan
Guru boleh menunjukkan minat atas prestasi muridnya dengan mendekatinya, berdiri di sebelahnya dan duduk di sisi muridnya.
4.  Peneguhan sentuhan
Guru boleh menunjukkan persetujuan dengan menepuk bahu atau belakang muridnya (sama jantina).
5.  Peneguhan aktiviti
Guru  melakukan aktiviti yang boleh menyukakan muridnya kerana murid menghasilkan  kerja yang baik.
6.  Peneguhan ganjaran
Guru menulis kata pujian atau memberi markah yang tinggi dalam buku kerja murid kerana telah menghasilkan kerja yang baik.     Bagi murid sekolah kebangsaan guru boleh memberi hadiah seperti pensil, gula-gula dan sebagainya untuk menggalakkan murid maju dalam pelajaranya.
Peneguhan yang berkesan ialah:-
  1. Kemesraan dan semangat
Kemesraan,  semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh guru terhadap perlakuan dan pencapaian murid adalah aspek penting dalam kemahiran peneguhan.
  1. Mempelbagaikan penggunaan peneguhan
         Guru hendaklah mempelbagaikan peneguhan, peneguhan perkataan atau gerak-geri yang selalu diulang akan hilang maknanya.
  1. Peneguhan positif
         Kajian telah menunjukkan bahawa peneguhan positif seperti pujian untuk jawapan yang belum selesai adalah lebih berkesan daripada peneguhan negatif seperti  ‘itu salah’ atau ‘jawapan kamu tidak tepat’.
  1. Kefahaman murid tentang peneguhan
Peneguhan yang  berkesan, murid hendaklah mengetahui perkaitan antara peneguhan dengan perlakuan dan pencapaian mereka.      Guru hendaklah memikirkan faktor umur, jantina dan kumpulan sosial murid.
KEMAHIRAN PENYOALAN
Kemahiran penyoalan ialah kemahiran yang sangat kompleks berbanding dengan kemahiran yang lain.     Kemahiran ini tidak diberi penilaian dan tempat yang sewajarnya oleh guru semasa ia mengajar.   Ada bukti yang  menunjukkkan kemahiran ini tidak digunakan dengan sepenuhnya dan soalan-soalan yang ditanya adalah dari jenis soalan  aras rendah yang tidak memerlukan poemikiran yang kritis dan membina aras kognatif  aras tinggi.   Penggunaan kemahiran penyoalan dapat meningkat tahap pencapaian murid  dan dapat mewujudkan suasana pembelajaran sosial yang berkesan.

No comments:

Post a Comment