Wednesday 7 December 2011

lembah pemahaman


PEMAHAMAN 1
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya

                Banyak pihak yang mendakwa bahawa ibu-ibu lebih cenderung menyusui anak mereka dengan susu tiruan. Keadaan ini wujud kerana kebanyakan ibu terpengaruh oleh iklan-iklan tentang kebaikan dan khasiat susu tiruan yang sering disiarkan di media massa. Oleh itu, tidak hairan jika terdapat ibu-ibu yang memilih susu tiruan untuk diberikan kepada bayi mereka. Keadaan ini amat ketara berlaku di kalangan ibu-ibu yang tinggal di bandar.
                Ada beberapa sebab keadaan ini berlaku. Pertama, sebahagian besar wanita yang tinggal di bandar terdiri daripada mereka yang bekerja. Oleh hal yang demikian, mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyusui sendiri bayi mereka kerana ikatan kerja. Kedua, sebahagian daripada wanita-wanita di bandar amat mementingkan kecantikan tubuh badan. Dengan demikian, kerja menyusui anak ini dianggap remeh. Ketiga, ada juga sesetengah wanita yang tidak sedar akan ketinggian khasiat susu ibu.
                Menurut pendapat doktor, pemberian susu ibu kepada bayi adalah lebih baik daripada susu tiruan untuk kesihatan dan perlindungan bayi. Ketinggian khasiat susu ibu adalah jelas jika kita perhatikan kepada proses pembentukan susu itu sendiri. Di peringkat permulaan, susu ibu terbentuk hasil percampuran estrogen, progestron, dan prome yang mengalir dalam saluran darah. Selepas itu, semua hasil campuran kimia bahan dan bahan makanan yang dimakan oleh ibu yang disebut “kolustrum” yang mempunyai khasiat yang amat tinggi. Kandungan susu ibu kaya dengan protein dan asid amino yang memainkan peranan penting dalam mempercepat proses pembesaran bayi. Kandungan bahan-bahan kimia dalam susu tersebut dapat juga mengawal bayi daripada dijangkiti penyakit dan bertindak untuk menghapuskan kuman.
                Pemberian susu ibu juga dapat mengurangkan kekerapan ibu melahirkan anak, iaitu merupakan kaedah merancang keluarga secara semula jadi. Jarak kelahiran yang jauh akan menjamin kesihatan ibu. Hubungan ibu dengan anak akan lebih mesra.

1  Bagaimanakah susu ibu terhasil?
                A              Melalui percampuran protein dan asid amino
                B              Melalui percampuran estrogen, progestron, dan prome
                C             Melalui percampuran “kolustrum” dan pertambahan darah
                D             Melalui percampuran kimia dan prolaktin serta pertambahan darah

2  Mengapakah kebanyakan ibu yang bekerja lebih suka memberi bayi mereka susu tiruan?
                A              Kerana mereka kesuntukan waktu
                B              Kerana mereka mengutamakan kecantikan
                C             Kerana mereka tidak tahu khasiat susu ibu
                D             Kerana mereka menganggap proses penyusuan perkara kecil

3  Mengapakah ibu-ibu di bandar lebih terpengaruh kepada iklan?
                A              Kerana mereka banyak terdedah kepada media massa
                B              Kerana masyarakat bandar mudah dipengaruhi
                C             Kerana kebanyakan mereka terdiri daripada wanita yang bekerja
                D             Kerana mereka menganggap susu tiruan lebih berkhasiat

4  Yang manakah BUKAN kebaikan susu ibu?
                A              Menjimatkan masa
                B              Mencegah penyakit
                C             Menjarangkan kelahiran anak
                D             Mempercepatkan proses pembesaran bayi

5  Kata cenderung dalam petikan boleh digantikan dengan kata
                A              memilih.                                          C      berminat.
                B              berpihak.                                        D      menyebelahi.

PEMAHAMAN 2
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

                Dia bangun dan memberitahukan cita-citanya. Tiba-tiba bilik darjah itu bergema dengan gelak ketawa. Semua kawan-kawannya memandang ke arahnya dengan kehairanan. Perkataan “peguam” amat luar biasa kepada mereka. Tambahan pula, ia cuma anak kampung.
                Tun Abdul Hamid bin Omar lahir pada 25 Mac 1929 di Kuala Perlis. Beliau dibesarkan dalam lingkungan keluarga Melayu yang bukan daripada golongan bangsawan. Bapanya seorang guru kampung yang menaruh harapan agar anaknya itu menjadi orang yang berjaya. Dengan itu, Abdul Hamid dibawa ke Kangar untuk diasuh oleh bapa saudaranya yang juga seorang guru.
                Pada tahun 1940, Abdul Hamid memasuki Maktab Sultan Abdul Halim di Alor Setar tetapi pengajiannya terbantut sebagai akibat Perang Dunia Kedua. Dalam tempoh berlakunya peperangan itu, dia menyambung pengajiannya semula sehingga lulus Peperiksaan Senior Cambridge.
                Dia menjadi mangsa pilih kasih kerana tidak diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti. Dia pergi ke England tanpa biasiswa tetapi mujurlah Tan Sri Jamil Rais membantunya untuk mendapatkan biasiswa. Dia kembali ke tanah air pada 1955 dan menjadi majistret. Dari situlah bermula kerjayanya dalam bidang perundangan. Antara jawatan yang pernah disandangnya termasuklah Timbalan Pendakwa Raya Perak, Penasihat Undang-undang Perak, dan Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi. Pada 3 Februari 1984, bel bidang perundangan. Antara jawatan yang pernah disandangnya termasuklah Timbalan Pendakwa Raya Perak, Penasihat Undang-undang Perak, dan Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi. Pada 3 Februari 1984, beliau dilantik menjadi Hakim Besar Malaya. Selepas itu, beliau memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada 10 November 1988.
                Walaupun menjadi seorang hakim memerlukan masa yang banyak, hal ini tidak menghalang Abdul Hamid untuk bergiat dalam sukan. Beliau terpilih menjadi Presiden Persekutuan Golf Asia, Kusta Malaysia, Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor, dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
                Abdul Hamid dianugerahi pingat Seri Setia Mahkota oleh Yang Di-Pertua Agong pada 7 Jun 1989 yang membawa gelaran Tun. Beliau dilantik menjadi Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia mulai tahun 1988 hingga kini.

1  Sejak bilakah Abdul Hamid menyimpan cita-cita untuk menjadi peguam?
                A              Semasa bersekolah di kampungnya
                B              Semasa belajar di Maktab Sultan Abdul Hamid
                C             Setelah lulus Senior Cambridge
                D             Sekembalinya dari England

2  Mengapakah ayah Abdul Hamid menyerahkan beliau di bawah jagaan bapa saudaranya?
                A              Demi mencapai cita-citanya
                B              Agar dapat belajar bahasa Inggeris
                C             Supaya Abdul Hamid dapat menyambung pelajarannya
                D             Kerana berlakunya Perang Dunia Kedua

3  Bagaimanakah Abdul Hamid Omar membiayai pengajian di luar negara?
                A              Melalui biasiswa
                B              Melalui pinjaman
                C             Melalui perbelanjaan sendiri
                D             Melalui bantuan Tan Sri Jamil Rais

4  Apakah jawatan tertinggi dalam bidang undang-undang yang pernah dijawat oleh Tun Abdul Hamid Omar?
                A              Hakim Besar Malaya
                B              Ketua Hakim Negara
                C             Hakim Mahkamah Persekutuan
                D             Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan

5  Pernyataan yang berikut BENAR tentang Abdul Hamid Omar, kecuali
                A              dia anak seorang pendidik.
                B              dia mendapat anugerah kebesaran.
                C             dia seorang ahli sukan yang berjaya.
                D             dia dapat menguasai lebih daripada satu bahasa.

PEMAHAMAN 3
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Pengerusi        :       Salam sejahtera rakan-rakan. Pagi ini kita akan membincangkan cara-cara memupuk tabiat membaca di kalangan  murid
                                sekolah. Kita telah menjemput tiga orang rakan kita yang sudah bersedia dengan hujah masing-masing. Mereka ialah
                                Saudara Hasan, Saudara Ismail, dan Saudara Mahfuz. Tanpa membuang masa, saya menjemput Saudara Hasan untuk  
                                memulakan perbincangan.
Hasan              :       Terima kasih, Saudara Pengerusi. Pada pendapat saya, cara yang baik untuk memupuk tabiat membaca di kalangan murid  
                                sekolah adalah dengan menggalakkan mereka menggunakan perpustakaan.
Pengerusi        :       Terima kasih, Saudara Hasan. Apakah pula pada pandangan Saudara Ismail?
Ismail                :      Tuan Pengerusi, saya rasa, cara yang berkesan untuk memupuk tabiat membaca  adalah dengan mengkhususkan sedikit
                                waktu dalam sehari untuk membaca. Setiap hari kita mesti membaca pada waktu yang ditetapkan itu. Lama-kelamaan tabiat
                                membaca akan berterusan.
Pengerusi        :       Terima kasih, Saudara Ismail. Apa pula pandangan Saudara Mahfuz?
Mahfuz             :      Saudara Pengerusi, satu cara lagi yang dapat memupuk tabiat membaca adalah dengan menubuhkan “Kelab Buku”. Melalui
                                kelab ini, kita dapat bertukar-tukar buku dan berbincang tentang buku-buku yang telah kita baca. Tiap-tiap orang hendaklah
                                menderma sebuah buku kepunyaannya kepada kelab ini sebagai permulaan. Kelas kita ada 40 orang murid. Hal ini
                                bermakna, kita sudah mempunyai 40 buah buku.
Hasan               :      Saudara Pengerusi, cadangan Saudara Mahfuz ini amat baik. Saya menyokongnya.
Pengerusi                Saya juga merasakan bahawa cadangan Mahfuz ini amat baik dan patut dibincangkan dengan lebih mendalam. Apa pula
                                pandangan Saudara Ismail?
Ismail               :       Saya ingin melanjutkan cadangan Saudara Mahfuz itu supaya almari yang kosong di sudut sana dijadikan tempat
                                menyimpan buku-buku, Kelab Buku kita. Saya percaya Cikgu Munirah akan bersetuju.
Pengerusi        :       Baiklah, diskusi kita pada hari ini mengambil keputusan menubuhkan Kelab Buku.

1  Apakah tujuan perbincangan ini diadakan?
                A              Untuk menubuhkan Kelab Buku di sekolah
                B              Untuk mencari jalan menggalakkan murid-murid membaca
                C             Untuk menanam semangat membaca di kalangan murid-murid
                D             Untuk menggalakkan murid-murid menggunakan perpustakaan

2  Kita mengetahui ahli panel telah membuat persediaan terlebih dahulu melalui
                A              pembacaan buku.
                B              cadangan Mahfuz.
                C             hujah masing-masing.
                D             penerangan Pengerusi.

3  Apakah cadangan yang perlu mendapat kebenaran Cikgu Munirah ?
                A              Mengutip derma
                B              Mengumpulkan buku
                C             Menggunakan almari
                D             Mengadakan perbincangan lanjut

4  Penyataan yang berikut BENAR tentang cara memupuk minat membaca, kecuali
                A              mengadakan sudut membaca.
                B              menyediakan jadual khas membaca.
                C             menggalakkan murid-murid membaca di perpustakaan.
                D             bertukar-tukar bahan bacaan di kalangan murid.

5  Frasa lebih mendalam dalam petikan membawa maksud
                A              tertib.                                                       C             tersusun.
                B              teratur.                                                    D             terperinci.

PEMAHAMAN 4
Baca puisi di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.

                                                                Ingat pesanku wahai belia,
                                                                Jangan berdusta jangan memperdaya,
                                                                Jangan kikir kasihkan kaya,
                                                                Jangan boros yang sia-sia.
                                                                                Jangan mengata jangan mengeji,
                                                                                Jangan aniaya, bengis, dan benci,
                                                                                Jangan takbur diri dipuji,
                                                                                Jangan sesekali mungkir janji.
                                                                Judi dan arak jangan dirasa,
                                                                Dengki khianat jangan selesa,
                                                                Usah bermain ular yang bisa,
                                                                Lambat bangat akan binasa.
                                                                                Jangan meminjam jangan berhutang,
                                                                                Jangan meminta bantuan si piutang,
                                                                                Tabiat meminjam hendaklah pantang,
                                                                                Bebas kehidupan sentiasa ditatang.
                                                                Meminjam jangan meminjamkan jangan,
                                                                Barang dipinjam kerap kehilangan,
                                                                Sahabat peminjam, renggang di tangan,
                                                                Hutang merosakkan maruah pandangan.
                                                                                Jangan biasakan meminta tolong,
                                                                                Ke sini tersembah ke sana terlolong,
                                                                                Ikhtiar sendiri bantut tergulung,
                                                                                Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.
1  Apakah akibatnya orang yang suka berhutang?
                A              Akan dipandang rendah
                B              Tidak suka hidup berdikari
                C             Hidup sentiasa terkongkong
                D             Persahabatan menjadi renggang


2  Mengapakah keupayaan seseorang terencat?
                A              Kerana selalu meminjam
                B              Kerana selalu membesarkan diri
                C             Kerana selalu mungkir janji
                D             Kerana selalu mengharapkan bantuan
               
3  Bagaimanakah seharusnya seseorang itu mengurus hartanya?
                A              Jangan memberikan pinjaman
                B             Berikhtiar sepenuh tenaga
                C             Selalu memberikan bantuan
                D             Berbelanja secara berherma

4  Belia dinasihatkan menghindari sifat-sifat yang berikut, kecuali
                A              kedekut.                                   C             pembazir.
                B              pemurah.                                 D             pembohong.

5  Maksud usah bermain ular yang bisa dalam petikan ialah
                A              jangan boros dan fikir.
                B              jangan suka berhutang.
                C             jangan melakukan kekejian.
                D             jangan bermain benda bahaya.

  
PEMAHAMAN 5
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.

                Belakangan ini, unsur-unsur seperti air, udara, bunyi, hutan, dan tempat tinggal manusia semakin tercemar. Manusia yang rakus akan wang telah menyebabkan alam sekitar ternoda.
                Kalau kita perhatikan, setiap hari bukit-bukau digondolkan, pohon-pohon hijau ditebang, sungai-sungai dan lautan telah dicemari. Kesan pencemaran menyebabkan suhu muka bumi meningkat dan lapisan ozon semakin nipis.
                Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pemuliharaan alam sekitar. Di peringkat kanak-kanak, diadakan pertandingan melukis dan mengarang tentang alam sekitar. Manakala di peringkat sekolah pula digalakkan menubuhkan Kelab Pencinta Alam Sekitar bagi menyedarkan para pelajar tentang kepentingan memulihara alam sekitar.
                Bagi orang awam, Dana Hidupan Liar Malaysia telah menyarankan unsur-unsur yang perlu dilakukan untuk pemuliharaan alam sekitar. Unsur-unsur ini ialah rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap alam sekitar, kemahiran menggunakan sumber alam dengan berkesan, dan semangat bekerjasama untuk menjaga kebersihan.
                Selain memberikan kesedaran kepada masyarakat, undang-undang pengawalan juga telah dibuat. Hal ini disebabkan sesetengah masyarakat tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Mereka masih tidak mempedulikan kebersihan alam sekitar. Oleh itu, negara kita telah mengadakan pelbagai akta untuk mengawal alam sekitar. Tujuannya adalah untuk membolehkan pihak berkuasa mengenakan tindakan kepada individu dan kumpulan masyarakat yang melakukan kesalahan.
                Sebenarnya, pihak kerajaan bukanlah ingin menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian semata-mata, sebaliknya dalam masa yang sama ingin memiliki persekitaran yang selamat dan indah. Oleh itu, semua pihak seharusnya memikirkan peranan masing-masing demi mewujudkan alam sekitar yang bersih agar kehidupan rakyat akan lebih harmoni.

1  Apakah faktor utama yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam?
                A              Bencana alam                        
                B              Ancaman haiwan
                C             Perubahan masa
                D             Perbuatan manusia

2  Mengapakah undang-undang perlu dibuat bagi mengawal pencemaran alam sekitar?
                A              Untuk memelihara alam sekitar
                B              Untuk menanamkan sikap bertanggung jawab
                C             Kerana ada golongan yang masih berdegil
                D             Kerana kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai

3  Bagaimanakah kesedaran tentang perlunya menjaga alam sekitar diwujudkan di kalangan pelajar-pelajar?
                A              Dengan memberikan ceramah kesedaran
                B              Dengan menubuhkan persatuan-persatuan dan kelab-kelab
                C             Dengan mengadakan peraturan-peraturan
                D             Dengan mengadakan pertandingan-pertandingan


4  Dana Hidupan Liar Malaysia telah mencadangkan agar orang ramai mengambil tindakan-tindakan yang berikut bagi memulihara alam sekitar,
    kecuali
                A              mempelajari cara-cara menggunakan sumber alam.
                B              sentiasa bekerjasama membersihkan alam sekitar.
                C             selalu mengambil berat tentang kebersihan alam sekitar.
                D             mengawal kegiatan masyarakat berkaitan dengan alam sekitar.

5  Kata perindustian bermaksud
                A              perusahaan.                            C             pertanian.
                B              maju.                                       D              moden.

PEMAHAMAN 6
Baca syair di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.
               
                                                                Terbongkok-bongkok di tepi jalan,
                                                                Membawa tempurung di tapak tangan,
                                                                Bertongkat buluh sebagai teman,
                                                                Meminta sedekah menadah tangan.
                                                                                                Pakaian buruk carik pula,
                                                                                                Panasnya kaki alas tiada,
                                                                                                Sesuap rezeki meminta-minta,
                                                                                                Hilanglah lapar hilanglah dahaga.
                                                                Wahai nasib bilakah gerangan,
                                                                Nikmat Ilahi datang menjelang,
                                                                Oh, Tuhan aku pohonkan,
                                                                Anugerahilah aku dengan ketabahan.
                                                                                                Waktu malam gelap gelita,
                                                                                                Angin bertiup hujan pun tiba,
                                                                                                Badan letih amat terasa,
                                                                                                Penat berjalan tidak terhingga.
                                                                Tidur si miskin di kaki lima,
                                                                Kepada Tuhan dia berdoa,
                                                                Derita ini janganlah lama,
                                                                Cepatlah bahagia datang menjelma.
                                                                            
1  Siapakah yang bertongkat?
                A              Dia                                           C             Seorang miskin
                B              Seorang tua                            D             Peminta sedekah

2  Mengapakah “dia” memohon kepada Ilahi agar dirinya cekal?
                A              Supaya mampu berhujan
                B              Supaya mampu menahan lapar
                C             Supaya hidup meminta-minta
                D             Supaya mampu menghadapi dugaan

3  Maksud Cepatlah bahagia datang menjelma dalam petikan tersebut ialah
                A              mengharapkan rezeki.
                B              mengharapkan nikmat.
                C             mengharapkan kekayaan.
                D             mengharapkan kesenangan.

4  Mengapakah “dia” berasa sangat letih?
                A              Kerana hari gelap
                B              Kerana jauh berjalan
                C             Kerana kakinya panas
                D             Kerana tidur di kaki lima

5  Nada syair ini berbentuk
                A              aduan.                                                     C             keluhan.
                B              rayuan.                                                    D             pujukan.



PEMAHAMAN 7
Baca dialog di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Jonet       :               Bapak, ini sahabat saya, Rosli. Dia datang dari Semenanjung.
Rosli        :               Apa khabar, pak cik? Saya gembira dapat bertemu dengan pak cik.
Pak Atem :               Khabar baik, nak!
Jonet       :               Pak, Rosli ingin tahu tentang Pesta Menuai. Boleh bapak ceritakan kepadanya?
Pak Atem :               Boleh. Pesta Menuai ialah satu perayaan yang diraikan pada bulan Mei setiap tahun sebagai memuja semangat padi. Sejak
                                tahun 1960, penduduk negeri Sabah diberi cuti umum pada hari perayaan tersebut.
Rosli        :               Bagaimana perayaan ini dijalankan, pak cik?
Pak Atem :               Mula-mula diadakan upacara yang ada kaitannya dengan kepercayaan orang-orang Kadazan atau Dusun. Kemudian,
                                mereka dijamu minuman tapai dan diajak menari tarian Sumazau. Kedua-dua ini merupakan acara tradisi pesta ini.
Rosli        :               Apakah acara kemuncak pesta ini, pak cik?
Pak Atem :               Acara kemuncaknya ialah pertandingan memalu gong dan minum tapai.
Rosli        :               Wah, hebat juga pesta ini dirayakan! Orang Kadazan atau Dusun sajakah yang merayakan pesta ini?
Pak Atem :               Tidak, Rosli. Sekarang Pesta Menuai ini dirayakan secara besar-besaran di kebanyakan daerah di Sabah. Pesta ini
                                sebenarnya pesta kaum tani. Sabah memang banyak golongan petani.
Jonet       :               Acara-acara lain ada juga dijalankan, misalnya sukan darat dan sukan laut, pertandingan bayi sihat, pameran hasil-hasil
                                pertanian, kraf tangan, dan pertunjukan kebudayaan.
Rosli        :               Oh, begitu!
Pak Atem :               Pesta Menuai ini bukan sahaja untuk bergembira, Rosli, tetapi untuk memupuk rasa muhibah dan semangat perpaduan di
                                kalangan rakyat Malaysia.
Rosli        :               Betul kata pak cik tu. Saya pun tidak begitu tahu tentang pesta ini.

1  Mengapakah pesta ini dirayakan pada bulan Mei setiap tahun?
                A              Kerana kaum tani berhimpun pada bulan ini
                B              Kerana telah diberi cuti umum
                C             Kerana bulan Mei bulan yang mulia
                D             Kerana padi mereka telah masak pada bulan ini

2   Apakah acara yang dijalankan turun-temurun dalam Pesta Menuai?
                A              Upacara menuai
                B              Upacara penyembahan          
                C             Upacara minum tapai dan memalu gong
                D             Upacara minum tapai dan menari tarian Sumazau

3  Tujuan utama Pesta Menuai diadakan adalah untuk
                A              bersuka ria.
                B              memupuk rasa muhibah.
                C             memuja semangat padi.
                D             mengeratkan perpaduan kaum.

4  Bagaimanakah Rosli mendapatkan maklumat tentang Pesta Menuai?
                A              Dengan berkunjung ke Sabah
                B              Dengan menyaksikan sendiri pesta itu
                C             Dengan bertanya kepada Pak Atem
                D             Dengan bertandang ke rumah panjang

5  Perkataan diraikan boleh digantikan dengan perkataan
                A              dilaksanakan            C             dirayakan
                B              dipujakan                 D             dijalankan

PEMAHAMAN 8
Baca surat di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.
                 
                                                                                                                                                                              Sekolah Kebangsaan Kajang,
                                                                                                                                                                                Jalan Low Ti  Kok,
                                                                                                                                                                                43000 Kajang,
                                                                                                                                                                                Selangor Darul Ehsan.
                                                                                                                               
                                                                                                                                                                                27 September 2005.

                Menemui Saudara Loqman yang diingati, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Saudara,
                Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk meminta maaf kerana tidak dapat menyertai rombongan saudara melawat ke Langkawi tempoh hari.
                Sebenarnya pada hari tersebut, saya telah menghadiri “Hari Terbuka” di Sekolah Tinggi Kajang bersama abang saya. Biarlah saya mengambil kesempatan ini untuk menceritakan apa yang telah berlaku pada hari itu.
                Pada sebelah paginya, murid-murid sibuk menyediakan bilik-bilik pameran. Murid-murid Persatuan Masakan sibuk menyediakan pelbagai jenis masakan untuk dipamerkan kepada pengunjung. Bilik-bilik makmal juga tidak kurang menariknya dengan berbagai-bagai percubaan sains.
                Di kawasan lapang di hadapan sekolah pula, ahli-ahli Pandu Puteri mengadakan perkhemahan. Di dewan besar, kerusi-kerusi tersusun dengan kemasnya untuk pengunjung menyaksikan pertunjukan kebudayaan. Dewan ini dihias dengan indah.
                Pada pukul 2.00 petang, orang ramai mula membanjiri pameran tersebut. Tuan Pengetua dan guru-guru kemudian terus dibawa ke bilik pameran.
                Pada pukul 4.00 petang pula, semua pengunjung turun ke padang untuk menyaksikan permainan pancaragam oleh para pelajar sekolah ini. Kemudian, mereka dijemput ke dewan untuk menyaksikan pertunjukan kebudayaan. Abang saya turut mengambil bahagian. Saya tertarik dengan tarian zapin dan inang. Setelah selesai pertunjukan itu, para pengunjung dipersilakan menikmati jamuan ringan.
                Sekian sahaja yang dapat saya ceritakan. Sehingga kita berjumpa lagi dalam lembaran yang lain, sambutlah salam mesra daripada saya.
                                                                                                                                                                                         Yang benar,                                                                                                                                                                                                               Hanafi
                                                                                                                                                                       
1  Apakah tujuan Hanafi menulis surat kepada Loqman?
                A              Untuk meminta maaf
                B              Untuk mengajak melawat pameran
                C             Untuk menceritakan apa yang berlaku
                D             Untuk membatalkan rancangannya pergi ke Langkawi

2  Apakah acara yang paling diminati oleh Hanafi pada hari itu?
                A              Hiasan dewan                        
                B              Acara sambutan     
                C             Pameran masakan
                D             Tarian tradisional

3  Di manakah persembahan kebudayaan diadakan?
                A              Di dewan
                B             Di kawasan lapang
                C             Di bilik makmal
                D             Di bilik pameran

4  Apakah atur cara pertama yang disusun oleh pihak sekolah untuk orang ramai?
                A              Menikmati jamuan
                B              Melihat hasil-hasil pelajar
                C             Melawat ke kawasan perkhemahan
                D             Menyaksikan pertunjukan kebudayaan

5  Di bilik pameran, para pengunjung dapat menyaksikan perkara-perkara berikut, kecuali
                A              hasil-hasil seni.
                B              permainan pancaragam.
                C             kuih-muih dan lauk-pauk.
                D             hasil-hasil percubaan sains.


PEMAHAMAN 9
Baca berita di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.

                KUALA SELANGOR, Isnin – Usaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MKDS) memasukkan pesta sukan air dalam diari tahunan negeri itu sudah menampakkan kejayaan. Hal ini dapat dilihat menerusi sambutan orang ramai, terutamanya penduduk tempatan. Jika pada tahun lalu, kegiatan yang mula diperkenalkan berjaya menarik minat kira-kira 3 000 pengunjung, tetapi jumlah itu meningkat kepada 4 500 pengunjung pada tahun ini.
                Pesta yang diadakan pada bulan September lalu bukan sekadar memenuhi diari tahunan, tetapi juga berjaya memperkenalkan pelbagai jenis sukan air yang belum pernah diadakan sebelum ini. Tarik tali perahu ialah acara baru yang disenaraikan. Acara itu berjaya menarik banyak peminat selain daripada acara merentas Sungai Selangor, menghambat itik, lumba perahu berdayung, meniti balak, dan perlumbaan jet ski.
                Walaupun semua acara bermula pada jam 2.45 petang, tetapi orang ramai sudah mula membanjiri tebing Sungai Selangor sejak jam 11.00 pagi lagi. Kedatangan mereka bukan sahaja untuk melihat pesta air tersebut, tetapi juga untuk mengunjungi destinasi pelancongan yang tidak asing lagi daerah itu, iaitu Bukit Melawati.
                Orang ramai juga berpeluang menyaksikan demonstrasi menyelamat mangsa dalam sungai oleh sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Shah Alam. Demonstrasi dan  mencegah penyeludupan oleh anggota Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dengan menggunakan dua bot laju turut diadakan. Dalam demonstrasi itu, orang ramai didedahkan kepada kecekapan pihak terbabit dalam bidang masing-masing.

1  Berapakah pertambahan pengunjung Pesta Sukan Air pada tahun ini jika dibandingkan dengan tahun lepas?
                A              7 500 orang                             C             1 500 orang
                B              1 000 orang                             D             2 000 orang

2  Apakah jenis sukan air yang baru diperkenalkan?
                A              Menghambat itik
                B              Lumba perahu berdayung
                C             Tarik tali perahu
                D             Meniti balak

3  Di manakah Pesta Sukan Air itu diadakan?
                A              Di pinggir sungai Kuala Selangor
                B              Di Bukit Melawati
                C             Di Sungai Selangor
                D             D Shah Alam

4  Kata demonstrasi dalam petikan ini bermaksud
                A              pendedahan.                           C             perlawanan.
                B              pertunjukan.                            D             peraduan.

5  Antara pernyataan yang berikut, yang manakah  tidak benar tentang Pesta Sukan Air dalam petikan itu?
                A              Beberapa jenis sukan baru telah diperkenalkan
                B              Mendapat sambutan yang menggalak- kan daripada orang ramai
                C             Demonstrasi menyelamat oleh anggota polis telah diadakan
                D             Bilangan pengunjung semakin bertambah

SOALAN PEMAHAMAN 10
Lihat jadual di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Jumlah Pertambahan Murid di Sekolah Kebangsaan Semenyih bagi Tahun 2000-2004


Tahun
Bangsa
Melayu
Cina
India
Bangsa lain
Jumlah
2000
21
12
6
3
42
2001
24
13
8
4
49
2002
30
16
10
5
61
2003
31
21
11
11
73
2004
37
22
19
12
90

1  Jika pelajar keseluruhan pada tahun 2000 ialah 400 orang, berapakah jumlah pelajar pada tahun 1999?
                A              442 orang                                                C             422 orang
                B              358 orang                                                D             458 orang

2  Berapakah pertambahan murid berbangsa India antara tahun 2002 hingga 2004?
                A              40 orang                                                  C             19 orang
                B              9 orang                                                   D             11 orang

3  Bangsa apakah yang memperlihatkan peningkatan yang paling ketara?
                A              Cina                                                         C             India
                B              Melayu                                                     D             Bangsa lain

4  Berapakah pertambahan murid Cina pada tahun 2001 berbanding tahun sebelumnya?
                A              1 orang                                                    C             22 orang
                B              13 orang                                                 D             2  orang

5  Yang manakah  BENAR tentang jadual di atas?
                A              Murid Melayu lebih ramai daripada murid lain
                B              Murid Cina lebih ramai daripada murid Melayu
                C             Pertambahan pada tahun 2002 lebih tinggi berbanding tahun 2004
                D             Berbanding tahun 2000, pertambahan murid berbangsa lain pada tahun 2001 hanya tujuh orang

No comments:

Post a Comment