Wednesday 7 December 2011

lembah pemahaman 3


PEMAHAMAN 21
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya

Pada malam yang sunyi itu, kedengaran suara orang merungut-rungut. Suara itu adalah suara Halim.. Nyamuk- nyamuk yang berterbangan
di atas kepala dan mengigitnya telah menganggu tidurnya sejak tadi. Sambil mengaru -garu tempat gigitan nyamuk, dia bangun lalu membuka
lampu. Besok dia terpaksa menghantar ayam-ayam itu kepada Pak Seman, seperti yang dijanjikan. Ini bermakna dia terpaksa bangun awal.
Hatinya menjadi resah! Halim mengelamun. Berbagai-bagai fikiran bermain di kepalanya. Tiba-tiba dia mendapat satu akal! Esok, dia akan
membeli kelambu. Kelambu itu akan melindungi dia dan keluarganya. Dia tersenyum . Tiba-tiba senyumannya hilang. “Dapatkah kelambu itu
menghapuskan nyamuk?, fikirnya”. Apakah yang menyebabkan nyamuk begitu banyak?Soalan ini bermain dikepalanya. Halim terus berfikir
panjang. Suatu kesedaran timbul dalam dirinya. Dia sedar bahawa dialah yang bertanggungjawab. Dia menyesal kerana selama ini dia tidak
pernah membersihkan kawasan di sekeliling rumahnya. Akibatnya, kawasan di sekeliling rumahnya sangat kotor. Longkang-longkang
di sekeliling rumahnya penuh dengan sampah -sarap dan air yang bertakung di situ telah menjadi tempat nyamuk membiak.Tin-tin dan botol-
botol kosong selalu sahaja dibuangnya ke dalam semak-samun yang berhampiran dengan rumahnya. Semak -samun dan rumput -rampai tidak
pernah ditebasnya.Halim mengambil satu keputusan yang tegas. Esok petang, dia akan membersihkan seluruh kawasan di sekeliling rumahnya.
Dia akan menanam tin-tin, botol-botol atau lain-lain barang yang dapat menakung air. Dia akan memastikan bahawa  kawasan di dalam dan
di luar rumahnya sentiasa bersih. Setelah memikirkan segala-galanya Halim cuba tidur dengan keazaman yang baru.

1. Perkataan merungut-rungut boleh digantikan dengan
    A. mengeluh
    B. bersungut-sungut
    C. bercakap-cakap
    D. menyesal

2. Mengapakah agaknya Halim menjadi resah ?
    A. kerana dia di gigit nyamuk
    B. kerana dia terlupa hendak menghantar ayam-ayam kepada Pak Leman
    C. kerana dia tidak dapat bangun awal pada keesokan paginya
    D. kerana dia tidak mempunyai kelambu

3. Perkataan mengelamun bermaksud
    A. mengkaji
    B. menggerutu
    C. memikirkan sesuatu
    D. menyentuh

4. Apakah yang di kesalkan oleh Halim ?
    A. tidak dapat tidur dengan nyenyak
    B. selama ini dia tidak membeli kelambu
    C. selama ini dia tidak pernah menjaga kebersihan kawasan di sekeliling rumahnya
    D. selama ini dia tidak menghapuskan nyamuk

5. Pernyataan pernyataan berikut berkaitan dengan petikan di atas kecuali
    A. air yang bertakung di longkang-longkang menjadi tempat pembiakan nyamuk
    B. keadaan di sekeliling rumah Halim sangat kotor
    C. keluarga Halim tidur dirumah Halim tanpa kelambu
    D. Halim telah menebaskan semak samun di keliling rumahnya

PEMAHAMAN 22
Baca ucapan di bawah dan jawab soalan-soalan berikutnya

PERASMIAN KEJOHANAN OLAHRAGA KAWASAN SELATAN
Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tan Sri Dato Mohd.Rashdan bin Baba ( Pengerusi Eksekutif Telekom Malaysia ),
Encik Baharom bin Salleh (Pengurus Telekom Malaysia), dif-dif jemputan, tuan-tuan dan puan-puan.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya Abdul Halim Hussain, selaku Pengurus Telekom Malaysia Kawasan Selatan ingin merakamkan
ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dato Rashdan kerana sudi hadir dan seterusnya merasmikan kejohanan Olahraga Kawasan Selatan bagi
kali yang keempat.Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada urusetia yang telah bersusah payah
bagi mempastikan kejohanan ini dapat berjalan dengan lancar.Alhamdulillah , sekali lagi kakitangan Telekom Kawasan Selatan dapat
berinteraksi dan beradu tenaga dalam acara -acara sukan yang dipertandingkan. Saya berharap semua peserta akan dapat menunjukkan
prestasi yang cemerlang dan penuh semangat kesukanan di samping mengeratkan silaturahim antara kita. Saya yakin semua peserta akan
lebih bersemangat lagi dengan kehadiran yang berbahagia Tan Sri Dato Mohd Rashdan. Walaupun sibuk dengan pelbagai tugas namun
kakitangan Telekom Malaysia Kawasan Selatan tetap menyokong sebarang kegiatan sukan yang diadakan di kawasan ini. Hal ini kerana
melalui sukan sahaja badan kita akan cergas dan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti dalam pekerjaan. Untuk tujuan itu berbagai-bagai
kelengkapan dan kemudahan sukan telah disediakan oleh pihak Telekom sebagai membuktikan komitmen mereka dalam bidang sukan.
Akhir kata, pihak Telekom Malaysia Kawasan Selatan ingin melihat kakitangannya maju dalam sukan dan juga mencapai mutu perkhidmatan
yang cemerlang. Kita mahu kedua-duanya seimbang. Kepada semua peserta saya mengucapkan selamat maju jaya. Semoga lebih banyak
kegiatan seperti ini dianjurkan untuk manfaat kita bersama.Majulah Sukan Untuk Negara. Sekian, wassalam.
anjurkan untuk manfaat lita bersama. Majulah Sukan Untuk Negara.

1 . Siapakah personaliti yang berikut, menjawat jawatan tertinggi dalam kalangan mereka?
    A. Encik Baharom bin Salleh
    B. Abdul Halim Hussain
    C. Abdul Halim Hassan
    D. Tan Sri Dato Mohd. Rashdan

2 . Apakah tujuan Tan Sri Dato Mohd. Rashdan di jemput ke Kejohanan Olahraga Kawasan Selatan?
    A. sebagai penasihat kejohanan
    B. sebagai penonton kejohanan
    C. sebagai perasmi kejohanan
    D. sebagai hakim kejohanan

3 . Yang manakah antara berikut bukan tujuan kejohanan ini diadakan ?
    A. untuk mengeratkan silaturahim
    B. untuk mencapai prestasi yang cemerlang
    C. untuk memilih calon-calon yang layak dalam SUKOM 98
    D. untuk meningkatkan semangat kesukanan

4 . Perkataan prestasi dalam petikan ini boleh diganti dengan
    A. potensi
    B. persaingan
    C. pencapaian
    D. penilaian

5 . Apakah insiatif pihak Telekom dalam menjayakan kejohanan ini ?
     A. menyediakan kelengkapan sukan
     B. menyediakan pelbagai program sukan
     C. menjemput Tan Sri Dato Mohd. Rashdan
     D. memilih kakitangan yang aktif dalam sukan

PEMAHAMAN 23
Sila baca puisi di bawah dan jawab soalan-soalan berikutnya

Kail mengena si ikan jelawat,
                Ditangkap nelayan bersama lokan;
Ekonomi negara semakin gawat,
                Tenangkan hati menerima ujian.
                                                Indah berseri hiasan jati,
                                                                Jati tumbuh di puncak bukit;
                                                Jangan berbelanja sesuka hati,
                                                                Ada wang lebih simpanlah sedikit.
Petang redup pergi ke pekan,
                 Pergi ke pekan menaiki basikal:
Belanja sekolah boleh dikurangkan,
                Galakkan anak membawa bekal.
                                                Pergi ke surau bersama-sama rakan ,
                                                                Singgah sebentar di rumah Noja;
                                                Barang tempatan patut diutamakan,
                                                                Jenama luar lupakan sahaja.
Anak kecil berhidung mancung,
                Pandai mengaji sopan tuturnya;
Jika tergerak untuk melancong,
                Negara sendiri patut diutama.

                                                Gadis manis tersedu-sedu,
                                                                Ditinggalkan bonda dalam bahtera;
                                Marilah kita bersatu padu,
                                                                 Negara aman Rakyat sejahtera.
1 . Apakah jenis puisi di atas?
     A. Syair
     B. Gurindam
     C. Pantun nasihat
     D. Pantun adat

2 . Pernyataan yang berikut betul tentang pantun kecuali
     A. pantun mempunyai pembayang dan maksud
     B. pantun mempunyai antara 8-12 sukukata
     C. pantun mempunyai rima yang sama
     D. pantun di atas ialah pantun empat kerat

3 . Manakah antara yang berikut BUKAN harapan penulis ?
     A. Berjimat cermat
     B. Tenangkan fikiran menghadapi dugaan
     C. Teruskan bersatu padu
     D. Mengaji dan berkelakuan sopan

4 . Pernyataan yang berikut ada kaitan dengan ungkapan tenangkan hati menerima ujian kecuali
     A. tidak menimbulkan kekecohan
     B. selalu beringat bahawa kehidupan kita tidak selamanya mewah
     C. setiap ujian yang kita terima perlu dihadapi kerana ada nikmatnya
     D. kesusahan berlaku atas kesilapan manusia sendiri

PEMAHAMAN 24
Baca surat di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan berikutnya

Jalan utama,
Taman Sungai Serada,
21300, Manir
Terengganu


Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Kuala Terengganu,
20200 Kuala Terengganu                                                                                                                                                                3 JULAI 2011

Tuan,

Masalah Kekotoran

Dengan hormatnya, saya selaku wakil penduduk Taman Sungai Serada berasa kecewa kerana pihak Majlis Perbandaran Kuala Terengganu
masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap masalah di atas.
2.             Saluran najis di kawasan perumahan kami tersumbat dan mengakibatkan tangki najis itu pecah. Apabila tangki pecah, najis melimpah
keluar. Keadaan ini tidak menyenangkan kami kerana penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap sehari suntuk bagi mengelakkan bau
busuk itu masuk ke dalam rumah. Kami sudah tidak tahan lagi dengan bau busuk itu yang sekaligus menghilangkan selera makan. Masalah ini bertambah teruk apabila hari hujan. Tangki najis yag pecah itu menyebabkan air najis mengalir ke kawasan-kawasan lain. Akibatnya penduduk di taman ini menghidapi berbagai-bagai jenis penyakit kulit.
3.             Selain itu, sampah sarap tidak diangkut berminggu-minggu oleh MPKT. Keadaan ini menyebabkan sampah-sarap bersepah di sana
sini akibat diselongkar oleh kucing dan eanjing liar.Sesetengah penduduk pula membuang sampah sarap ke dalam parit. Air parit tidak dapat
mengalir dengan lancar dan bertakung. Air yang bertakung memudahkan nyamuk membiak dan bertelur, terutamanya nyamuk aedes. Kami
bimbang penduduk di kawasan ini akan dijangkiti penyakit demam denggi.
4.             Taman permainan kanak-kanak di tempat perumahan kami tiada kelengkapan yang . Rumput padang terlalu panjang kerana tidak
dimesin, tambahan pula alat-alat permainan kanak-kanak seperti buaian dan gelongsor sangatlah uzur.Ini amat berbahaya untuk kanak-kanak
dan boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diduga.
Saya bagi pihak penduduk taman ini memohon agar pihak tuan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah itu secepat mungkin.
Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amatlah kami hargai.

Sekian,terima kasih. 

Yang menjalankan tugas,
  Kasrol Wibowo
………………………
(KASROL WIBOWO)
Wakil Penduduk, Taman Sungai Serada.

1 . Manakah antara yang berikut merupakan tunggak keamanan sesebuah negara?
     A. rakyat yang suka berjimat cermat
     B. adanya semangat bersatu padu di kalangan rakyat
     C. mengutamakan tugas sendiri
     D. membantu orang susah

2 . Apakah tujuan penulis menulis surat kepada Majlis Perbandaran Kuala Terengganu?
     A. untuk mebuat rayuan supaya diadakan tempat membuang sampah
     B. untuk membuat aduan tentang penduduk taman yang menghidap berbagai-bagai jenis penyakit kulit
     C. untuk membuat aduan tentang masalah saluran najis yang tersumbat, sampah-sarap yang tidak diangkut dan ketiadaan taman permainan
          kanak-kanak yang sempurna
     D. untuk membuat aduan tentang penduduk yang dijangkiti penyakit demam denggi

3 . Apakah jenis pencemaran yang berlaku di tempat tinggal penulis ?
     A. pencemaran air, udara dan bunyi
     B. pencemaran air
     C. pencemaran bunyi
     D. pencemaran udara

4 . Makna bagi perkataan selongkar dalam surat di atas adalah
     A. digeledah
     B. dimakan
     C. dibuang
     D. dikais

5 . Apakah yang menyebabkan penyakit deman denggi merebak ?
     A. Nyamuk tiruk
     B. Nyamuk aedes
     C. Tikus
     D. Lalat

20. Manakah pernyataan yang benar berdasarkan surat di atas ?
     A. penduduk di taman tersebut tidak berpendidikan tinggi
     B. penduduk di taman tersebut tidak dapat tidur malam
     C. penduduk di taman tersebut terdedah kepada pencemaran bau dan penyakit deman denggi
     D. penduduk di taman tersebut tidak diendahkan oleh pihak MPKT

PEMAHAMAN 25
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya

Gopal    :    Eh, awak ingat lagi tak tentang berita manusia ditelan ular sawa tempoh hari!
Samat   :     Mestilah Sampai sekarang saya masih terbayang-bayang gambar yang tersiar dalam akhbar tu. Eee…….. ngerinya!
Chan     :     Tapi yang peliknya, lepas kejadian tu tak putus-putus keluar cerita tentang ular sawa dalam akhbar. Ular sawa telah menelan
                    ayamlah.   telan kambinglah, dan macam -macam lagi
Samat   :     Apa yang peliknya, Chan Memanglah berita sensasi macam tu disukai oleh orang ramai. Jadi wartawan pun jalankan tugas mereka
                    untuk mencari cerita -cerita sedemikian!
Gopal    :    Agaknya tak lama lagi ada pula berita tentang ular sawa telan gajah. Haa. masa tu barulah heboh satu dunia! Adakah awak tahu
                    ular  sawa merupakan sejenis haiwan yang dilindungi?
Samat    :    Tahu. baru semalam Cikgu Lina beritahu.
Gopal    :    Yalah, selama ni saya tak tahu pun yang kita boleh didakwa jika mencedera atau membunuh ular.
Chan     :    Hukumannya berat juga Kita boleh kena denda hingga RM3 000 atau penjara!
Samat   :    Dan boleh juga dikenakan kedua-duanya sekali!
Gopal    :    Kalau macam tu, bila jumpa ular sawa cepat -cepatlah lari Jangan cuba-cuba nak pukul atau bunuh!
Chan     :    Kenapa? Kamu takut ke?
Samat   :     Awak ni tak faham ke, Chan? Nanti terlepas masuk mulut ular sawa, awak kena masuk penjara pula!



1. Apakah maksud kata-kata Samat, 'Eee....ngerinya' dalam petikan di atas?
    A.   Bayang-bayang ular sawa menelan manusia
    B.   Dia terbayang kenangan ular sawa menelan manusia
    C.   Gambar ular sawa menelan manusia yang tersiar dalam akhbar
    D.   Kejadian ular sawa menelan manusia yang dilihat oleh Gopal.

2. Perkataan 'sensasi' dalam petikan di atas sesuai digantikan dengan perkataan
    A.   menakutkan
    B.   menggemparkan
    C.   menghairankan
    D.   menyeronokkan

3. Semua berita berikut telah tersiar dalam akhbar kecuali
    A.   ular sawa menelan gajah
    B.   ular sawa menelan kambing
    C.   ular sawa menelan ayam
    D.   ular sawa menelan manusia

4  Apakah hukuman yang paling berat boleh dikenakan terhadap orang yang bersalah kerana mencedera atau membunuh ular sawa?
A.       Denda sehingga RM3 000
B.       Dikenakan hukuman penjara.
     C     Dihukum penjara dan denda RM3 000
     D     Denda RM3 000 atau dihukum penjara

 5.Ular sawa tidak boleh dipukul atau dibunuh kerana
    A.   hukumannya sangat berat.
    B.   ia merupakan sejenis binatang yang dilindungi.
    C.   kita hanya boleh lari apabila terjumpa ular sawa.
    D    kita boleh dihukum penjara

PEMAHAMAN 26
Baca surat di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Mukim Bemban,
70300 Seremban,
Negeri Sembilan.


Semua Ibu Bapa/Penjaga Pelajar,
Sekolah Kebangsaan Mukim Bemban,
70300 Seremban,
Negeri Sembilan.                                                                                                                                                                             10 JUN  2011

Tuan/Puan,

Pengambilan Buku Laporan Kemajuan Pelajar

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak tuan/puan dijemput hadir ke sekolah bagi mengambil buku laporan kemajuan anak tuan/puan.
2.             Untuk makluman tuan/puan, bermula tahun ini pihak sekolah tidak lagi menyerahkan buku laporan tersebut kepada para pelajar
untuk ditandatangani oleh penjaga mereka di rumah.
3.             Pihak sekolah berpendapat adalah lebih baik para ibu bapa datang ke sekolah untuk menandatangani buku laporan tersebut.
Dengan itu ibu bapa dapat berjumpa dengan guru kelas anak mereka dan seterusnya dapat berbincang tentang perkembangan pelajara
anak-anak.
4.             Tuan/puan diminta hadir bersama anak tuan/puan yang lengkap berpakaian seragam sekolah pada tarikh dan masa yang dinyatakan
seperti di bawah

Tarikh     :    22 hb. Jun 2009
Hari        :    Sabtu
Masa      :    Tahun 1, 2, dan 3                             Tahun 4, 5, dan 6
                    8.00 pagi - 11.00 pagi                      9.00 pagi - 11.45 pagi
                    2.00 petang - 4.00 petang                3.00 petang - 4.45 petang

 Kehadiran dan kerjasama tuan/puan sangat kami harapkan demi meningkatkan lagi prestasi pelajaran pelajar-pelajar sekolah ini.

Sekian, terima kasih.

'BERKHIDMAT UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA'

Saya yang menurut perintah,

Mohd Fikri Khairuddin
……………………………………
(MOHD FIKRI BIN KHAIRUDIN)
Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Mukim Bemban.

1.  Surat di atas ditujukan kepada
     A.      guru besar
     B.      pelajar-pelajar
    C.      ibu bapa/penjaga
    D.      tuan/puan

2   Tujuan utama surat itu adalah untuk
    A       menjemput ibu bapa datang ke sekolah berjumpa dengan guru kelas anak- anak mereka.
    B       memberitahu ibu bapa tentang kemajuan pelajaran anak -anak mereka.
    C       menjemput ibu bapa berbincang tentang kemajuan pelajaran anak -anak mereka
    D       memberikan tarikh dan masa ibu bapa boleh hadir ke sekolah bagi mengambil buku laporan kemajuan anak-anak mereka.

3   Semua pernyataan berikut adalah benar, kecuali
    A       ibu bapa diminta datang sendiri untuk mengambil buku laporan kemajuan pelajar
    B       pelajar boleh membawa pulang buku laporan kemajuan mereka untuk ditandatangani oleh ibu bapa atau penjaga di rumah
    C       pelajar mesti memakai pakaian seragam sekolah apabila hadir ke sekolah bersama bapa mereka
     D       pihak sekolah berhasrat untuk mempertingkatkan prestasi pelajaran murid -muridnya.

4   Anak Puan Seliah belajar dalam Tahun 6. Oleh itu beliau boleh datang pada masa berikut, kecuali      
     A.      8.45 pagi
     B.      9.30 pagi
     C.      3.45 petang
     D.      4.15 petang

5   Sarah murid Tahun 4, manakala adiknya Nadia belajar dalam Tahun 1 . Masa yang paling sesuai bagi ibu bapa mereka hadir ke sekolah 
     ialah
     A.      8.30 pagi
     B.      11.15 pagi
     C.      3.30 petang
     D.      4.15 petang

PEMAHAMAN 27
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

                Haikal, John dan Leong bersahabat baik semenjak kecil lagi. Mereka hidup sekampung dan bersekolah di sekolah yang sama.
Ketiga-tiganya murid Tahun Enam. Mereka sentiasa berlumba-lumba dalam pelajaran. Masing-masing ingin menduduki tempat teratas
dalam kelas..Dalam Peperiksaan Percubaan UPSR tempoh hari, ketiga-tiganya mendapat 5A. Di dalam kelas mereka, John muncul pelajar
terbaik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, manakala Leong mendapat markah tertinggi bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Haikal pula
mendapat 100 peratus dalam Matematik. Guru kelas mereka sungguh bangga dengan pencapaian ketiga –tiga muridnya yang juga menjadi
anak emas sekolah mereka itu.Walaupun mereka saling berlumba dalam pelajaran, mereka tidak bermusuhan antara satu sama lain.Malah,
mereka saling membantu dalam menghadapi apa juga keadaan. Mereka belajar bersama-sama, bermain bersama-sama dan jika timbul
masalah, mereka akan cuba menyelesaikannya secara muafakat. Di kampung, mereka terkenal sebagai budak-budak yang ringan tulang.
Orang kampung juga sangat suka kepada mereka kerana mereka juga ringan mulut. Mereka rajin menolong ibu bapa dan juga sentiasa
bersedia membantu orang kampung. Apabila berselisih dengan orang lain, mereka tidak pernah masam muka, sebaliknya menegur orang
itu dengan ramah.

1   Perkataan 'berlumba-lumba' dalam petikan di atas bermaksud
     A  .berlawan
     B  .bersaing
     C   beriringan
     D   berkejar-kejaran

2   Antara berikut, manakah pernyataan yang salah?
     A  Haikal mendapat markah penuh dalam Matematik.
     B  John mendapat markah tertinggi dalam Bahasa Melayu.
     C  Leong mendapat markah penuh dalam Bahasa Inggeris
     D  Haikal, John dan Leong mendapat 5A dalam peperiksaan percubaan UPSR sekolah mereka

3   Semua perkara di bawah dilakukan oleh tiga sahabat itu bersama -sama, kecuali
     A   bermain
     B   belajar
     C   menolong ibu bapa
     D   menyelesaikan masalah

4   Semua simpulan bahasa yang terdapat dalam petikan di atas membawa maksud yang baik, kecuali
     A   anak emas
     B   ringan tulang
     C   ringan mulut
     D   masam muka

5   Apakah tajuk yang paling sesuai bagi petikan tersebut?
     A   Bakal Pelajar Terbaik UPSR
     B   Sikap Yang Harus Diteladani
     C   ringan mulut
     D   Pelajar Pintar Sentiasa Berlumba-lumba

PEMAHAMAN 28
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Matahari terlindung cuaca redup,
                Budak bermain senangnya hati;
Ilmu itu pelita hidup,
                Harus dicari hingga ke mati.

Gembira sungguh di hari raya,
                Tetamu datang tiada henti;
Kaya ada bermacam kaya,
                Ilmu di dada paling bererti.

Pak Lebai memakai kopiah,
                Sambil tersenyum melayan tetamu;
Mencari ilmu bukannya payah,
                Asalkan rajin tak kenal jemu.

Hati gembira apabila bertemu,
                Setelah lama asyik berjauhan;
Membaca itu jambatan ilmu,
                Rajin bertanya luas pengetahuan.

1   Apakah maksud baris 'Ilmu itu pelita hidup'?
     A   Ilmu dapat mencerahkan kehidupan manusia.
     B   Pelita diperlukan semasa mencari ilmu.
     C   Ilmu akan dibawa hingga ke mati.
     D   Ilmu itu dapat menghidupkan pelita.

2   Perkataan 'payah' dalam rangkap ketiga sama ertinya dengan
     A   rahsia
     B   seksa
     C  sukar
     D  mudah

3   Menurut puisi di atas, sikap suka bertanya boleh
     A   menjadikan seseorang itu kaya dengan ilmu.
     B  membantu seseorang semasa membaca untuk mencari ilmu.
     C  menambah pengetahuan orang yang bertanya itu.
     D  menjadi jambatan ilmu kepada orang yang rajin membaca.

4   Semua pernyataan berikut adalah benar, kecuali
     A   kita jangan berasa bosan dalam mencari ilmu.
     B   kekayaan yang paling bermakna ialah kaya ilmu'.
     C  membaca merupakan salah satu cara mendapatkan ilmu.
     D  Ilmu baik dan ilmu jahat boleh diamalkan dan dijauhi.

5   Tajuk yang paling sesuai bagi puisi di atas ialah
     A  Mari Berpuisi
     B  Faedah Ilmu
     C  Pantun Ilmu
     D  llmu Dalam Pantun

PEMAHAMAN 29
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.
                Kumpulan penguin jenis Chinstrap memilih satu kawasan indah di Antartika sebagai kawasan rehat mereka iaitu di atas ketulan ais
yang terbentuk hasil tiupan bayu sejak berkurun-kurun lamanya. Chinastrap memiliki satu keistimewaan iaitu mempunyai daya ingatan yang
kuat dengan itu ia dapat mengesan kedudukan sarang lamanya yang kini ditimbusi salji. Penguin betina akan bertelur di tempat yang sama
ia bertelur pada tahun sebelumnya.
                Apabila tiba musim bertelur, penguin jantan akan mengeram telur yang ditenggelami salji setebal 45 sentimeter, manakala penguin
betina akan mencari makanan. Sebelum bertelur, mereka akan mengumpulkan batu-batu kecil sebagai bahan membuat sarangnya. Spesies
penguin yang terbesar, iaitu jenis penguin Emperor, membina sarang mereka di atas cerun yang bertingkat-tingkat. Penguin jenis ini akan tiba
pada setiap bulan Mac di Antartika. Ketika itu awal musim sejuk di kawasan itu.
                Selepas mengawan, Emperor betina akan menghasilkan sebiji telur. Telurnya berwarna putih kehijau-hijauan. Kulit telurnya kesat
seperti kulit buah oren dan ini memudahkan penguin betina mencengkam serta memusingkan telur itu dengan kakinya. Sebaik sahaja penguin
betina bertelur, ia akan menyerahkan telur itu kepada pasangannya yang akan mengeraminya.
                Selepas itu, penguin betina akan menyeberangi lautan dan menuju ke utara, manakala penguin jantan mengerami telur itu pada suhu
serendah -60 Celsius. Penguin betina akan kembali ke tempat pasangannya dua bulan selepas itu. Ketika itu telurnya telah menetas dan
penguin jantan mengalami kekurangan berat badan. Ini kerana sepanjang tempoh pengeraman ia terpaksa berpuasa.
                Kedua-dua spesies ini berdepan dengan banyak musuh. Singa laut sering mengintai-intai peluang untuk menyerang anak penguin.
Untuk mengelakkan diri daripada serangan itu, penguin hidup secara berkumpulan. Ini akan mengelirukan musuh utamanya itu daripada
menjejaki pergerakan mereka Penguin bergerak lambat ketika di darat, sebaliknya lincah serta cekap berenang ketika di air dan mampu
melompat ke atas ketulan air.

1 Apakah keistimewaan penguin jenis Chinstrap?
   A   Ia bertelur pada tempat yang sama setiap tahun.
   B   la boleh mengesan kedudukan sarangnya.
   C   Penguin jantan yang mengeram telur.
   D   Memiliki daya ingatan yang kuat.

2 Spesies penguin yang paling besar itu bertelur
   A   dalam sarang yang dibina bertingkat-tingkat.
   B   dalam sarang yang dibina di atas cerun yang bertingkat-tingkat.
   C   dalam sarang yang diperbuat daripada ketul-ketul batu.
   D   di atas ketulan air yang juga merupakan kawasan rehat mereka.

3 Mengapakah penguin betina jenis Emperor mudah mengubah kedudukan serta memegang telurnya itu?
   A   Kerana bentuk telurnya.
   B   Kerana keadaan telurnya.
   C   Kerana saiz telurnya.
   D   Kerana warna telur itu
.
4 Berikut ialah maklumat yang salah tentang penguin Emperor kecuali
   A   Penguin jenis ini gemar mengembara.
   B   Penguin betina bertelur sebiji sahaja.
   C   Telurnya akan menetas dalam masa dua bulan.
   D   Penguin bergerak lincah di atas darat.

5 Bagaimanakah penguin dapat mengelakkan diri daripada serangan musuhnya?
   A   Dengan sering mengembara.
   B   Dengan hidup secara beramai-ramai.
   C   Dengan kebolehan mengelirukan musuhnya.
   D   Dengan melompat ke atas ketulan ais.

PEMAHAMAN 30
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

                Harunlah yang mula-mula menyedari bahawa di kaki bukit itu ada sebuah gua. Sebelum ini hutan di kaki Bukit Perah itu kami redah.
Bukan sekali kami masuk ke hutan Bukit Perah itu, tetapi baru kali inilah kami menemui sebuah gua di sebalik rimbunan pokok palas itu.
Berhampiran dengan pokok palas itu tumbuh serumpun pokok salak. Harun memanggil kami sebaik sahaja dia nampak gua itu ketika dia
sedang mengambil buah salak itu. "Mari kita masuk ke dalamnya," kata saya. "Mana tahu di dalamnya ada harta karun," sambung saya
bergurau.
                "Aku takutlah, entah-entah berlingkar ular sawa sebesar batang pinang di dalamnya," balas Harun sambil menjengah ke dalam gua
yang kelam itu. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk masuk ke gua itu. Sebelum itu kawasan sekitar pintu gua itu telah kami bersihkan.
Ketika itu barulah kami perasan bahawa gua itu tidaklah tertutup rapat. Kami kumpulkan daun-daun salak dan daun-daun palas yang kering, lalu
mengikatnya kemas-kemas, untuk dibuat andang.
                Perlahan-lahan kami melangkah. Lantai gua itu lekak-lekuk, licin, serta berlumut. Udara di dalamnya dingin. “Berhati-hati Man” kata
Harun sambil mengangkat andangnya. Beberapa ekor kelawar yang terkejut berterbangan keluar. Harun terkejut dan andang di tangannya
terjatuh.
terjatuh. Semakin jauh ke dalam, keadaan gua itu semakin gelap tetapi udaranya pula semakin panas. Kami bergerak dengan bantuan cahaya
andang itu. Seekor musang melompat dan meluru keluar. Hampir musang itu melanggar kaki saya. Peluh memercik, bulu roma saya tegak.
                Saya semakin takut. Harun yang berada di belakang menjerit-jerit. Saya menoleh,kelihatan kelibat tubuh Harun.Dia berlari keluar.
Terlintas di hati saya seekor harimau sedang tercegat di depan saya, sedia untuk menerkam. Sebelum khayalan saya semakin meliar, saya
pun  berlari keluar sambil memanggil Harun. Harun terduduk di tepi pintu gua itu.Mukanya pucat-lesi. “Binatang celaka itu menakutkan saya,”
katanya lemah.

1  Apakah tujuan mereka ke hutan Bukit Perah?
   A   Mencari daun palas
   B   Mencari buah salak
   C   Mencari gua
   D   Mencari harta karun

2  Andang itu gunanya untuk
   A   menakutkan kelawar
   B   menyuluh jalan
   C   membakar serangga
   D   mengeringkan daun palas

3 Harun menyuruh kawannya berhati-hati kerana
   A   takut andang itu terpadam
   B   mungkin ada binatang di situ
   C   lantai gua itu dilitupi lumut
   D   takut tergelincir

4  Bagaimanakah keadaan dalam gua itu apabila mereka semakin jauh ke dalamnya?
   A   Lantainya kian licin dan berbahaya
   B   Gua itu semakin gelap dan udaranya panas
   C   Udara di dalam gua itu dingin serta gelap
   D   Semakin menakutkan

5  Apakah binatang yang menakutkan Harun?
   A   Harimau
   B   Kelawar
   C   Musang
   D   Ular sawa

No comments:

Post a Comment